𝑺𝒆𝒋𝒂𝒓𝒂𝒉 π‘»π’‚π’Žπ’‚π’…π’–π’ π‘Ήπ’π’Ž


 


TAMADUN ROM

Tamadun Rom lahir di kawasan Bukit Palatine, berhampiran dengan Sungai Tiber di Lembah Latium yang pada masa itu didiami oleh orang-orang Latin. Pada 21 April 753S.M, Romulus telah membuka bandar di situ dan sejak itu Lembah Latium berkembang menjadi sebuah lembah yang penting.


     Pada abad ke-2 Masihi, majlis perbandaran telah diwujudkan di setiap bandar oleh pemerintah Rom. Majlis perbandaran tersebut bertanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran di bandar-bandar tanpa diganggu oleh pentadbiran pusat di Rom. Dengan kewujudan majlis perbandaran tersebut, kehidupan di bandar telah menjadi semakin maju dan selesa. Pembinaan bandarnya terdiri daripada pelbagai kemudahan yang terancang seperti bekalan air, sistem pemanas, rumah ibadat, sarkas, teater, rumah mandi awam, tempat forum, dan juga istana. 

    Salah satu bandar yang berada di bawah pemerintahan Rom ialah Pompei yang terkenal dengan mempunyai pelbagai kemudahan. Sebagai contoh, Pompei mempunyai pejabat, dewan orang ramai, perpustakaan, rumah ibadat, mahkamah, kedai, pintu gerbang, dan colosseum. Colosseum merupakan sebuah bangunan berbentuk bulat yang dibina tanpa atap. Bangunan ini dibina sebagai tempat untuk pahlawan Rom bertarung. Pada tahun 80 Masihi, jumlah penduduk di bandar Pompei telah mencapai sebanyak 50 000 orang. Selain itu, Pompei juga mempunyai saliran terusan yang bagus. Sistem saliran bawah tanah itu menyalurkan air melalui paip sepanjang 146 kilometer yang melibatkan 14 buah terusan. Saliran itu telah memberi sumber air yang mencukupi kepada penduduk Pompei pada setiap masa termasuklah ketika peperangan. Terusan itu juga banyak memberi sumbangan dalam bidang perindustrian dan pengangkutan.



Pemerintahan dan Pentadbiran

    Tamadun Rom telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja sejak tahun 753S.M. Pada zaman itu, raja-raja berketurunan Etruscan telah memerintah Rom secara mutlak. Hal itu tidak disenangi oleh penduduk Latin di situ kerana mereka tidak mahu diperintah oleh orang-orang Etruscan. Oleh itu, penduduk Latin di situ telah memberontak dengan pimpinan golongan bangsawan yang dikenali sebagai Patrician. Dengan ini, Rom telah menjadi sebuah republik pada tahun 509 S.M.

    Antara ciri-ciri bagi pemerintahan republik di Rom ialah tiada pemerintah berkuasa mutlak, dua orang konsul yang dilantik oleh Dewan Senat memegang kuasa tertinggi. Konsul dibantu oleh golongan bangsawan dari Dewan Senat yang perlu menguruskan hal-hal pentadbiran negara dan menggubal perundangan. Namun begitu, seseorang itu perlulah menjadi seorang praeotor iaitu pemerintah tentera terlebih dahulu sebelum layak dilantik menjadi seorang konsul. Sebagai contoh, Julius Caesar terkenal dengan kejayaannya dalam banyak peperangan. Beliau merupakan seorang praeotor pada tahun 62 S.M, dan dilantik menjadi konsul pula pada tahun 59 S.M. Selain itu, Dewan Senat dibantu oleh Dewan Perhimpunan iaitu semua penduduk Rom. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Dewan Senat akan diberitahu pada Dewan Perhimpunan untuk mendapat kelulusan.



    Semasa pemerintahan Julius Caesar, apabila Rom telah mencapai taraf empayar, Rom telah berubah daripada sistem republik kepada diktator. Empayar Rom telah berjaya meluaskan kuasanya ke Yunani, Sham, Macedonia, Britain, Mesir, Perancis dan Jerman. Wilayah-wilayah kecil yang ditakluk telah disatukan dan telah mewujudkan sistem pentadbiran berpusat. Julius Caesar digelar sebagai maharaja dan telah mengetuai pasukan tentera Rom dan Senat.

    Selepas Julius Caesar, anak saudaranya iaitu Augustus Caesar juga menggunakan gelaran maharaja dan beliau memerintah empayar Rom dari 27 S.M hingga 14 S.M. Augustus merupakan seorang maharaja yang diingati dalam sejarah kerana berjaya memberi keagungan dan keamanan kepada Rom. Keamanan itu telah berkekalan selama 200 tahun. Zaman kegemilangan tersebut digelar sebagai Pax Romana yang bermaksud keamanan Rom. Augustus Caesar juga memberi kesejahteraan kepada penduduk Rom yang terdiri daripada tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah.

Perundangan

    Dalam Tamadun Rom, undang-undang bertulis pertama yang digunakan ialah Hukum Kanun 12. Undang-undang tersebut telah dipahat di tempat awam pada sebuah kayu yang digelar Papan Dua Belas. Dengan cara itu, semua penduduk Rom boleh membaca dan mematuhi undang-undang tersebut. Undang-undang yang awal seperti Hukum Kanun 12 adalah pada Zaman Republik dan digunakan selama 400 tahun. Dengan sebab terdapat terlalu banyak undang-undang yang terlalu rumit, Maharaja Justinian telah mengumpulkan dan menyatukan kesemuanya lalu memperkenalkan Kod Undang-Undang Rom atau Kod Undang-Undang Justinian yang beberapa di antaranya masih digunakan sehingga hari ini. Kod Undang-Undang Rom terdiri daripada tiga jenis iaitu undang-undang sivil, undang-undang rakyat, dan undang-undang natural.



Perluasan Kuasa

Zaman perluasan kuasa Rom adalah semasa di bawah pemerintahan Augustus Caesar. Pada tahun 27 S.M, beliau telah menjadikan Rom sebagai sebuah empayar serta mewajibkan sistem pemerintahan warisan. Augustus menjadi diktator setelah berjaya mengalahkan Anthony iaitu bekas jeneralnya dan tenteranya yang bergabung dengan tentera Mesir di bawah pimpinan Cleopatra semasa Perang Actium. Pada zaman pemerintahannya, Rom berjaya menakluki Britain, Sepanyol, Danube, Laut Hitam, Gunung Atlas, Macedonia, Afrika Utara, Sungai Rhine, Turki, dan Palestin.





Comments